Sejarah Ringkas SMJK Nan Hwa Sitiawan
Penubuhan Sekolah Tinggi Nan Hwa
Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Nan Hwa dikenali sebagai Sekolah Tinggi Nan Hwa pada masa ia ditubuhkan pada 24 November 1935. Sekolah ini merupakan gabungan bahagian kelas menengah yang dibuka di Sekolah Rendah Uj Dih, Chinese National Chung Cheng dan Min Tee pada masa itu.
Perkembangan Sebelum Perang Dunia Kedua
Sekolah ini dibuka pada 11 Januari 1936. Pelajar-pelajar perintis seramai kira-kira 100 orang memulakan pengajiannya di kediaman Padri Lee Kor Ting di Kampung Koh, Sitiawan. Pada tahun itu juga, tapak sekolah telah dibeli dengan wang kutipan derma berjumlah RM3000.00. Pembinaan dua blok bangunan yang mengandungi 10 buah kelas dan sebuah dewan siap pada 1939. Bilangan pelajar meningkat melebihi 300 orang. Sekolah ini ditutup pada pemerintahan tentera Jepun iaitu dari 1942 hingga 1945.
Perkembangan Selepas Perang Dunia Kedua (1946-1961)
Selepas Perang Dunia Kedua tamat, sekolah ini dibuka semula pada 28 Januari 1946. Bilangan pelajar pada ketika itu kira-kira 200 orang. Pada tahun 1954, kelas menengah atas dimulakan. Mulai 1958, bilangan pelajar meningkat dengan pesat dan pada tahun 1960, jumlah pelajar melebihi 1200 orang. Dalam tempoh ini, 8 buah bilik darjah tambahan dibina. Di samping itu, sebuah dewan besar juga dibina pada tahun 1958.
Perkembangan Selepas Sekolah Ini Menerima Bantuan Penuh - Titik Peralihan
Pelaksanaan Akta Pelajaran 1961 merupakan titik peralihan bagi sekolah ini. Pada tahun 1961, Lembaga Pengurus menerima tawaran kerajaan supaya sekolah ini dijadikan sekolah Bantuan Penuh Kerajaan. Mulai 1962, sekolah ini dibahagikan kepada dua, iaitu SMJK Nan Hwa dan Sekolah Tinggi Nan Hwa. Bilangan pelajar SMJK Nan Hwa pada masa itu ialah 521 orang. Pengetua pertama ialah Encik Chin Neng Siang dan Pengerusi Lembaga Pengurus ialah Dato' Dr. Ling Sing Hang.
Projek Pembinaan, Naik Taraf dan Penyelenggaraan Bangunan
Sejak tahun 1962, beberapa projek bangunan tambahan telah siap dibina. Berikut ialah butir-butir projek bangunan tambahan sekolah.
Bil | Tahun | Projek | Kos (RM) |
1 | 1963 | 3 buah bilik darjah tambahan telah dibina. (Bantuan modal daripada Kementerian Pendidikan) | 11,000.00 |
2 | 1969 | Sebuah bengkel Seni Perusahaan dan Sains Rumahtangga siap dibina dengan bantuan modal diluluskan untuk projek ini. | 40,000.00 |
3 | 1973 | Sebuah perpustakaan dan 3 buah bilik darjah dibina. Pihak sekolah mendapat bantuan modal RM10,000.00 dari kerajaan. | 65,000.00 |
4 | 1977 | 6 buah bilik darjah dibuna. | 65,000.00 |
5 | 1979 | 1 blok bangunan 2 tingkat terdiri daripada 2 buah makmal sains dan 6 buah bilik darjah dibina. | 125,000.00 |
6 | 1981 | 1 blok bangunan satu tingkat terdiri daripada tiga buah bilik darjah dibina. | 22,000.00 |
7 | 1984 | 1 blok bangunan 2 tingkat (6 buah bilik) dibina. | 130,000.00 |
8 | 1997 | 1 blok bangunan 2 tingkat bilik muzik berhawa dingin dibina. | 82,138.00 |
9 | 1997-1999 | Kerja naik taraf / Penyelenggaraan bangunan /
kemudahan dilaksanakan seperti berikut: (a) Membaiki dan naik taraf Dewan Har Par (b) Membaiki dan naik taraf 4 buah bilik darjah dan 2 makmal sains (c) Pembinaan dan naik taraf sistem pencegahan kebakaran termasuk pembinaan beberapa pili bomba di kawasan sekolah (d) Naik taraf infrastruktur jalan, pemindahan teres bangku bola keranjang dan penebangan pokok tua dan kerja membuangkan bangsal basikal (e) Membaiki bangunan pusat sumber sekolah (f) Mambaiki dan naik taraf pintu bilik darjah dan kemudahan bekalan elektrik |
32,000.00 73,037.50 12,461.00 63,087.00 9,850.00 16,484.30 |
10 | 1999 | 1 blok bangunan 3 tingkat dibina, terdiri daripada 2 buah kantin (tingkat bawah) dan 12 buah bilik darjah dilengkapi dengan sistem pencegah kebakaran, bekalan air dan elektrik, meja dan kerusi (Bantuan Modal RM70,000.00) | 586,037.95 |
11 | 1999-2000 | Pada akhir tahun 1999 satu blok bangunan tandas lelaki dan pada awal tahun 2000 satu blok tandas perempuan dilengkapi dengan bilik pertukaran baju dan bilik mandi | 185,200.00 |
12 | 2000 | Pembinaan pagar konkrit dan bergril panjangnya 1097 meter dan tingginya 2.13 meter mengelilingi seluruh kawasan sekolah | 205,000.00 |
13 | 2002 | Pembinaan 1 bangunan 3 tingkat yang terdiri daripada 1 dewan kuliah yang boleh muat 200 orang (Tingkat bawah), 2 buah bilik ABM (Tingkat 1) dan 2 bilik Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) (Tingkat 2) | 392,000.00 |
14 | 2004 | Pembinaan 1 blok bangunan 2 tingkat yang terdiri daripada 1 bilik mesyuarat (Tingkat atas) dan 2 buah bilik ABM (Tingkat bawah) | 250,000.00 |
Kelas Tingkatan Enam
Pada tahun 1984, Kelas Tingkatan Enam Aliran Sains dibuka di sekolah ini. Kumpulan pertama penuntut Tingkatan Enam seramai 52 orang memulakan pengajian Tingkatan Enam di sekolah ini.
Pemindahan Sekolah Persendirian Dari Kawasan Sekolah
Pada 31 Ogos 1984, Sekolah Tinggi Nan Hwa (Persendirian) yang berkongsi kawasan sekolah dengan sekolah ini berpindah ke tapak baru di Sungai Wangi, Sitiawan. Pihak sekolah persendirian bersetuju menyerahkan semua bangunan yang terletak di kawasan sekolah ini kepada SMJK Nan Hwa. Sekolah Tinggi Nan Hwa (Persendirian) diberi RM250,000.00 oleh SMJK Nan Hwa sebelum berpindah.